Pergi ke kandungan

Phleum pratense

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rumput Timothy
Habitus, ssp. pratense
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
P. pratense
Nama binomial
Phleum pratense

Phleum pratense ialah nama saintifik untuk sejenis rumput saka yang asalnya di merata benua Eropah kecuali kawasan Mediterranean. Ia tumbuh hingga 50–150 cm tingginya, dengan daunnya sampai 45 cm panjang dan 1 cm lebar. Jambak bunganya 7–15 cm panjang dan 8–10 mm lebar, diisi spikelet yang lebat sekali. Phleum pratense mudah disalah sangka sebagai Alopecurus pratensis dan Phleum phleoides.

Walaupun tiada nama rasmi dalam bahasa Melayu, namun tumbuhan ini bergelar rumput Timothy (Timothy-grass) sempena seorang petani Amerika bernama Timothy Hanson yang dipercayai membawanya dari New England kepada negeri-negeri selatan pada awal abad ke-18.[1][2]

Subspesies

[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua subspesies:

  • Phleum pratense subsp. pratense. Besar, tingginya hingga 150 cm. Meluas.
  • Phleum pratense subsp. bertolonii. Kecil, tingginya hingga 70 cm. Padang rumput berkapur.
Jambak bunga

Penanaman dan penggunaan

[sunting | sunting sumber]

Tumbuhan jati Eropah ini diperdatangkan tanpa sengaja ke Amerika Utara oleh kaum pendatang terawalnya. Ia mula-mula diperihalkan pada tahun 1711 oleh John Hurd di New Hampshire, lalu dinamakan "rumput Hurd". Akan tetapi, seorang petani bernama Timothy Hanson mula memupuk penanaman rumput ini untuk dijadikan rumput kering sekitar tahun 1720, dan semenjak itulah rumput ini dinamai sempena nama Timothy sendiri. "Rumput Timothy" kini sudah dinaturalkan di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada.

Phleum pratense banyak ditanam sebagai sumber suapan lembu, dan juga dijadikan rumput kering untuk dimakan kuda. Ia agak tinggi kandungan serabutnya, khususnya yang dicantas ketika matang. Rumput ini dijadikan sumber rumput kering yang biasa dan membekalkan pemakanan bermutu untuk kuda, di samping menjadi makanan utama untuk haiwan-haiwan peliharaan seperti arnab, tikus belanda, cincila, dan degu. Rumput ini juga menjadi makanan untuk sesetengah jenis beluncas (larva rama-rama), misalnya Thymelicus lineola. Ia juga tumbuh di tepi jalan dan padang terbiar, tetapi lazimnya memerlukan tanih yang kaya dengan nutrien.

Debunganya merupakan sejenis alergen yang umum; baru-baru ini, ia diguakan dalam sukatan kecil sebagai ramuan untuk sejenis vaksin rinitis alergi, Grazax yang direka untuk merapikan sistem imun badan supaya tidak bertindak balas kepada debunga.

Phleum pratense bertahan sepanjang musim sejuk, tetapi mungkin memperlihatkan batang mati berwarna jerami yang berjambak bunga seakan pepaku, untuk jangka masa yang singkat.

Keserupaan dengan spesies lain

[sunting | sunting sumber]

Phleum pratense sering dikelirukan dengan Alopecurus pratensis (sejenis rumput lacang). Rumput Timothy berbunga sekitar Jun hingga Ogos, sementara rumput lacang itu berbunga dari April hingga Jun. Spikelet rumput Timothy berupa unjuran seakan sepasang tanduk yang teratur dalam bulir silinder, manakala rumput lacang ini ada jejanggut tunggal yang lembut.[3]


  1. ^ Merriam-Webster's Collegiate Dictionary, 11th ed., p. 1310.
  2. ^ Oxford English Dictionary, s.v. timothy grass.
  3. ^ BSBI Description Diarkibkan 2011-07-17 di Wayback Machine retrieved 2010-12-1.